20 APR : Kecemerlangan prestasi Ringgit Malaysia terus dibuktikan apabila diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi itu menunjukkan ekonomi negara kini semakin kukuh yang dibantu dengan peningkatan keyakinan pelabur.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kira-kira (RM9.5 bilion) bon Malaysia diberi dana global yang merupakan aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan terakhir ini.
“Konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran global, termasuk kenaikan harga tenaga dan aliran keluar modal dari beberapa negara.
“Namun begitu, dalam beberapa minggu kebelakangan ini kita menyaksikan aliran masuk dana apabila pelabur global membeli bon Malaysia sebanyak 2 bilion dolar Amerika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata ekonomi negara turut berkembang 5.2 peratus pada tahun lalu yang merekodkan pelaburan tertinggi didorong sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.
Menurut Anwar, prestasi itu merupakan hasil komitmen kerajaan ditadbirnya dalam melaksanakan reformasi dasar selain penglibatan aktif bersama syarikat dan pengurus dana antarabangsa.
Mengulas soal keupayaan syarikat tempatan dalam sektor pertahanan, beliau berkata ia mencerminkan budaya ketepatan dan akauntabiliti yang tinggi.
Ini khususnya melibatkan sektor aeroangkasa dan semikonduktor yang berperanan dalam pengujian serta pembungkusan cip bagi sistem keselamatan.
“Sebahagian syarikat Malaysia kini mempunyai status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, dengan pengeluaran komponen berteknologi tinggi di negara ini.
“Keupayaan ini mencerminkan budaya ketepatan dan akauntabiliti tinggi yang turut diaplikasikan dalam sektor aeroangkasa pertahanan,” katanya.