19 MEI : Malaysia terus berupaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan global, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi ekonomi negara yang dicatatkan pada tahun lalu serta suku pertama 2026 mengatasi unjuran awal yang ditetapkan kerajaan.
“Selalu unjuran ini memang sedikit ditambah, dilebih-lebihkan. Jadi saya lihat dua perkara dalam negara kita yang bangga dengan unjuran tapi pencapaian lebih baik daripada yang diunjurkan. Pertama sukan negara, kedua pertumbuhan ekonomi negara.
“Kerana tahun lalu, suku tahun akhir dan suku tahun ini dalam keadaan sibuk perang teluk, kemudian harga minyak sekarang dah AS$100 lebih setong. Masa kita buat unjuran ekonomi, AS$70 setong.
“Tapi Alhamdulillah dalam keadaan begitu pun, prestasi pertumbuhan ekonomi kita pada tahun lalu dan suku pertama tahun ini lebih tinggi daripada unjuran. Ini syukur Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Anugerah Sukan Negara 2025, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mencontohi semangat para atlet negara yang sentiasa berprestasi dalam acara masing-masing.
“Sama dengan semangat sukan, saya akan beritahu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, kita perlu belajar daripada atlet kita bagaimana mereka boleh capai yang lebih baik…kita juga boleh sama-sama capai yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan tiada potongan terhadap dana melibatkan kegiatan dan kebajikan sukan meski negara berdepan kekangan kewangan.
“Kita pelihara sepenuhnya, tiada potongan. Usah bimbang.
“Itu bukan masalah anda, bukan masalah saya…ia masalah menteri,” katanya.
Pada majlis itu, beregu campuran badminton utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dinobat sebagai olahragawan serta olahragawati kebangsaan.