26 MEI : Kerajaan MADANI masih mampu memberi subsidi bagi mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter meski terpaksa berdepan peningkatan kos penghantaran dan insurans kapal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan itu sambil menekankan bekalan petrol dan diesel negara juga mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai ini.
“Doa supaya selamat kerana hubungan baik ini membantu bekalan minyak cukup. Setakat ini kita jangka sampai Julai dan Ogos, Insya-Allah diesel cukup.
“Setakat yang kita mampu, minyak RON95 kekal RM1.99. Beritahu saya negara mana yang lebih murah daripada Malaysia? Tak ada, kecuali Brunei,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, setakat ini bekalan Malaysia masih berada dalam keadaan lebih baik berbanding beberapa negara jiran.
“Di Filipina misalnya, ada yang beratur di stesen minyak dan ada ratusan stesen sudah tutup. Alhamdulillah, kita belum sampai ke situ,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan pimpinannya sentiasa berusaha dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan harga barang susulan krisis bekalan global yang melanda.
“Minyak ada tetapi kos penghantaran naik kerana laluan Selat Hormuz terjejas. Insurans naik, tambang kapal pun naik.
“Tetapi setakat yang kita mampu, kita pertahankan harga minyak untuk rakyat,” katanya.
Selain itu katanya, Malaysia juga memiliki hubungan baik dengan beberapa negara lain termasuk Iran yang meancarkan lagi urusan perdagangan dan laluan kapal negara di Selat Hormuz.
“Kapal awal-awal dapat lepas Selat Hormuz dan sampai ke Pengerang. Hubungan baik ini membantu kita.
“Petang ini jam 6, Insya-ALLAH, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian akan menghubungi saya melalui telefon. Walaupun banyak orang perli bab ini tetapi itu tidak mengapa,” katanya.