Hubungan Malaysia-Arab Saudi terus diperkukuh
29 MEI : Hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi terus diperkukuh melalui jaminan yang diberi Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu mengukuhkan lagi keyakinan untuk menumpu kepada pembangunan negara.
“Saya menerima pesanan teks secara peribadi daripada Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada minggu lepas, yang menjamin hubungan baik berterusan antara kedua-dua negara.
“Ini memberi kita keyakinan untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, meski berdepan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia masih mampu menyerap tekanan berterusan dan menjamin bekalan minyak mental dan diesel.
“Walaupun berdepan tekanan ekonomi, Alhamdulillah kita dapat menanganinya dengan baik.
“Kita mempunyai bekalan minyak mentah dan diesel yang mencukupi…hubungan kita dengan Kerajaan Arab Saudi juga sangat baik,” katanya.
Mengulas soal tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat susulan konflik bekalan global, Anwar berkata keadaan itu akan diurus pentadbirannya dengan sebaik mungkin.
