30 MEI : Kerajaan MADANI bertekad memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan yang saksama serta berterusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen itu sempena sambutan Kaamatan dan Gawai dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, sambutan Kaamatan dan Gawai adalah perayaan kesyukuran yang berakar daripada tradisi dan warisan masyarakat Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, iadiraikan penuh makna dalam semangat kebersamaan, muafakat dan penghargaan terhadap nikmat hasil bumi.
“Dalam kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang mewarnai negara kita, sambutan ini mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya memelihara keharmonian dalam kemajmukan, memperkukuh semangat persaudaraan dan menyuburkan budaya saling menghormati.
“Atas semangat yang sama, Kerajaan MADANI bertekad memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan yang saksama dan berterusan.
“Usaha ini mesti diterjemah kepada peluang pendidikan yang lebih baik, akses kesihatan yang berkualiti, pembangunan infrastruktur asas yang menyeluruh serta kehidupan yang lebih bermaruah untuk rakyat,” katanya.
Beliau berharap sambutan kali ini membawa kemakmuran, keberkatan serta memperteguh semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia tercinta.
“Saya ucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya.