Kuasa besar terus gagal henti kezaliman Israel
29 MEI : Malaysia menyelar sikap masyarakat dunia yang masih membisu ketika umat Islam di Gaza dan Selatan Lubnan terus dizalimi Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kuasa besar dunia terus gagal dalam menghentikan kezaliman rejim itu.
Menurut Anwar, kuasa besar Barat yang lantang sebelum ini dalam melaungkan semangat demokrasi dan keadilan juga dilihat sudah pupus.
“Kita melihat umat Islam terutama di Gaza dan selatan Lubnan terus ditimpa malapetaka, kezaliman zionis Israel yang keterlaluan.
“Kita tentunya sangat terkesan. Saya aneh melihat masyarakat antarabangsa, kita nak harapkan Eropah…Amerika untuk meletakkan semangat demokrasi dan keadilan (tetapi) saya ingat semuanya pupus sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, hari ini.
Anwar memberi perumpamaan keadaan berpeluk tubuh seperti yang berlaku hari ini tidak akan berlaku jika mangsanya adalah orang Yahudi itu sendiri.
“Sebab yang nyata apabila dizalimi orang-orang Plaestin, Gaza dan selatan Lubnan itu hampir tidak memberi kesan. Apa maruah di dunia ini dan prinsip?
“Ini yang saya sering katakan ciri kemunafikan, hipokrasi dunia barat yang boleh mengizinkan…bayangkan kalau ini berlaku kepada orang Yahudi. Saya tidak mendukung yang sedemikian tapi saya nak tunjuk bahawa kemarahan itu sebab kezaliman itu berterusan,” katanya.
Selain itu, Anwar turut memaklumkan beliau ada menghubungi beberapa pemimpin dunia bagi membincangkan kerjasama serantau dalam kalangan negara Islam.
Beliau sempat menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan prinsip keadilan dan menyuarakan isu penindasan rakyat di seluruh dunia.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA