Malaysia sasar jadi hab industri strategik serantau
10 JUN : Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan syarikat peneraju dunia bagi memastikan negara kekal berdaya saing serta berupaya muncul sebagai antara hab utama industri strategik dan teknologi masa hadapan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting ketika dunia berdepan perubahan pesat dalam landskap ekonomi antarabangsa susulan krisis bekalan global yang semakin mempercepatkan peralihan kepada industri strategik dan teknologi baharu.
Menurut Anwar, negara yang berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi serta industri berimpak besar akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan termasuk dalam aspek keterjaminan tenaga dan daya tahan ekonomi.
“Saya turut menegaskan bahawa krisis bekalan global yang melanda dunia sedang mempercepat perubahan dalam landskap ekonomi antarabangsa. Negara yang berjaya menarik industri strategik, teknologi baharu dan pelaburan bernilai tinggi akan berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran masa hadapan, termasuk dalam memperkukuh keterjaminan tenaga dan daya tahan ekonomi.
“Atas dasar itu, Malaysia mesti terus memperkukuh hubungan dengan syarikat peneraju dunia bagi memastikan negara kekal berdaya saing dan berupaya menjadi antara hab utama industri strategik dan teknologi masa hadapan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan aspirasi, hala tuju ekonomi serta potensi pelaburan Malaysia dalam dialog perniagaan bersama 29 pemimpin konglomerat utama Jepun yang dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Anwar berkata syarikat yang hadir terdiri daripada peneraju global dalam sektor perbankan dan kewangan, semikonduktor, tenaga boleh baharu, infrastruktur serta petrokimia.
Katanya, pertemuan itu membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama dan pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada Malaysia dan Jepun.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan negara menerusi pelaksanaan dasar yang jelas dan konsisten bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke dalam sektor strategik.
Menurutnya, usaha tersebut bukan sahaja akan mengukuhkan ekonomi negara malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.
