16 JUN : Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) disahkan terkorban ketika latihan membaling bom tangan di Kem Hobart di Gurun, Kedah, pagi tadi.
Insiden itu berlaku ketika Latihan Membaling Grenade dalam Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang dilaksanakan di Kem Hobart pada jam 10.57 pagi.
Mangsa yang terkorban ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Diraja Malaysia (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
“Dua anggota yang terlibat mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan. Kedua-dua anggota dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, walau bagaimanapun mereka disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan jenazah kedua-dua anggota itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat.
Dalam kenyataan sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman manzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua warganya itu dan menyampaikan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga mangsa.
“Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. TDM memberi jaminan segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TDM,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota berkenaan.
Baginda berharap keluarga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,’’ titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook rasmi.
Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menitahkan ATM menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian dan diperkukuhkan.