23 JUN : Kaunter perkhidmatan pasport ditutup sementara secara berfasa pada 26 Jun hingga 30 Jun 2026 di 71 cawangan seluruh negara.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan penutupan sementara itu melalui satu kenyataan, hari ini.
“JIM ingin memaklumkan bahawa kaunter perkhidmatan pasport di 71 cawangan pejabat pengeluar pasport seluruh negara akan ditutup sementara secara berfasa bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan sistem.
“Bagi Fasa 1, penutupan akan dilaksanakan mulai 26 hingga 30 Jun 2026 melibatkan beberapa cawangan seperti yang dinyatakan dalam poster,” menurut kenyataan itu.
Penutupan itu melibatkan pejabat pengeluar pasport di Ibu Pejabat Putrajaya, Jalan Duta, Melaka, Kelana Jaya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sementara sembilan pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang turut ditutup ialah di Puduraya, Selangor, Johor Bahru, Pasir Gudang, Seremban, Ipoh, Kedah, Sungai Petani dan Seberang Perai.
Jabatan itu berkata sepanjang tempoh tersebut, urusan permohonan pasport di kaunter dan MyOnline Pasport serta percetakan pasport di cawangan terlibat tidak dapat dilaksanakan.
Justeru itu, JIM menasihatkan orang ramai untuk merancang urusan pasport lebih awal dan merujuk saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk maklumat lanjut.
“Kerjasama dan perhatian anda amat dihargai,” menurut kenyataan itu.