7 JUL : Polis Johor membuka 18 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 27 Jun hingga 6 Julai selain menerima 56 laporan polis berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata bagi tempoh 3 hingga 6 Julai sahaja, sebanyak 32 laporan polis diterima dan 10 kertas siasatan dibuka.
“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.
“Satu siasatan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kempen pilihan raya serta batasannya.
“Lapan kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata proses pengundian awal PRN Johor berlangsung lancar dengan situasi keselamatan dan ketenteraman awam kekal terkawal.
Beliau berkata, sehingga jam 5 petang, kadar keluar mengundi dalam kalangan warga PDRM mencapai 95.42 peratus, bersamaan 11,511 daripada 12,706 pegawai, anggota polis dan pasangan yang berdaftar sebagai pengundi awal.
Proses pengundian awal itu berlangsung di 53 Pusat Mengundi Awal (PMA) PDRM di seluruh Johor, manakala keseluruhan 64 PMA, termasuk 11 PMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beroperasi dengan lancar, teratur dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan atau kelancaran proses pilihan raya.
Pada masa sama, Polis Johor menerima 3,484 permohonan permit ceramah dan aktiviti kempen politik bagi tempoh 27 Jun hingga 6 Julai dengan 3,215 daripadanya diluluskan.
“Sepanjang tempoh itu juga, 3,182 program dan aktiviti politik dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan juga ketenteraman awam,” katanya.
Menurut Ab Rahaman pihaknya akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang PRN Johor.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.
“Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor berlangsung dalam suasana yang aman, selamat, harmoni dan teratur,” katanya.