11 JUL : Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengkritik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkait pelaksanaan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
Zambry berkata beliau memandang serius kenyataan menteri Kabinet yang melabelkan KPT sebagai ‘lembab seperti kura-kura’.
“Saya memandang serius dan membidas sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming yang mengkritik serta melabelkan KPT sebagai ‘lembab seperti kura-kura’ berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zambry menegaskan setiap keputusan yang dipersetujui jemaah menteri merupakan keputusan bersama yang berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif.
Menurutnya, pelaksanaan sesuatu keputusan turut melibatkan tindakan menyeluruh serta penyelarasan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pelbagai agensi berkaitan.
Justeru itu, Zambry berkata sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Kabinet seharusnya dibincangkan di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka seperti itu.
Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja jemaah menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Terdahulu, Kor Ming dilaporkan mengkritik kelewatan pelaksanaan keputusan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam dengan menyifatkan KPT bergerak ‘lembab seperti kura-kura’ yang mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.