KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
12 JUL : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung syor penambahbaikan terhadap proses pengurusan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian.
KDN sentiasa menghormati fungsi semak dan imbang institusi yang diwujudkan di bawah undang-undang serta akan meneliti setiap syor yang dikemukakan bagi tujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan tadbir urus kementerian.
Permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan merupakan suatu proses yang diperuntukkan oleh undang- undang dan dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh terhadap setiap permohonan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang berkaitan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.
Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, KDN turut mendapatkan penelitian serta semakan daripada pelbagai agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan.
Sehubungan itu, KDN akan meneliti dapatan serta syor yang dikemukakan oleh EAIC bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan yang bersesuaian.
Antaranya melibatkan aspek pengukuhan prosedur operasi standard (SOP), dokumentasi, penyelarasan proses kerja serta mekanisme tadbir urus yang selaras dengan amalan terbaik perkhidmatan awam.
Latihan berterusan juga akan diberi kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat agar sentiasa mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan berkemahiran tinggi.
Pada masa yang sama, KDN ingin menegaskan bahawa kuasa pertimbangan permohonan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam, keselamatan negara serta fakta bagi setiap kes.
KDN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan menurut undang- undang.
Kementerian kekal komited untuk terus memperkukuh integriti, ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan demi memastikan setiap urusan berkaitan kewarganegaraan dilaksanakan secara profesional, berakauntabiliti dan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI