29 JUL : Perdana Menteri mengesahkan Myanmar bersetuju untuk menerima kembali seramai 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan itu merupakan hasil rundingan serta hubungan baik kedua-dua negara.
Beliau menegaskan kerajaan tidak sesekali akan berkompromi terhadap mana-mana pelarian Rohingya yang mengganggu ketenteraman awam di negara ini.
“Rohingya ini masalah kita sekarang….saya dah bagi amaran dan semalam, dua hari sudah, saya bagi arahan kepada polis, saya tak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam. Ini Malaysia.
“Jadi sebab hubungan baik (Malaysia) dengan Myanmar…sekarang ini dia setuju ambil 5,000 dulu dari Malaysia (dan) ambil 300,000 orang Myanmar Rohingya dari Bangladesh, hantar balik Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX DUN Chennah di Simpang Durian, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hubungan baik dengan negara itu menyaksikan Myanmar yang sebelum ini enggan menerima pelarian tersebut akhirnya bersedia menerima 5,000 orang.
“Orang kata, hantar balik! Hantar balik ke mana? Hantar ke Burma, Myanmar… mereka kat sana tak mahu terima.
“Sebab apa kita runding, sebab itu hasil hubungan baik kita,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat di samping memastikan isu pelarian diurus secara teratur mengikut peruntukan undang-undang.