29 JUL : Polis membuka tiga kertas siasatan baharu termasuk satu kes disyaki membabitkan sogokan kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata sebanyak 62 laporan diterima sepanjang 18 hingga 28 Julai dan daripada jumlah itu, 19 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya.
“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dibuka kerana kesalahan penyogokan yang mana laporan dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun, semalam.
“Mengikut laporannya, dia mendakwa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan seorang calon parti menerima maklumat mengenai seorang individu tidak dikenali didakwa akan memberi wang sebagai sogokan kepada ‘pengundi putih’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan membabitkan kes khianat hingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.
Sementara itu katanya, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(a)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(a)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Ia kerana menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat berkaitan pilihan raya melalui media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Mengulas perkembangan kempen, Alzafny berkata polis menerima 76 permohonan permit bagi ceramah serta aktiviti politik semalam.
“Semua permohonan itu diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 638 permohonan permit diterima sejak 18 Julai dan daripada jumlah itu, 612 permohonan sudah diluluskan.
Katanya, setiap ceramah politik serta aktiviti kempen yang mendapat permit akan dipantau bagi memastikan penganjuran berjalan lancar selain mematuhi undang-undang.