27 OKT : Dua lelaki tempatan termasuk pengarah syarikat pemilik asal kapal tangki MT Global 168, ditahan polis, Ahad lalu.
Ia susulan kes rampasan 1.16 tan ketamin dalam kapal tangki itu oleh pihak berkuasa Indonesia, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kedua-dua lelaki berusia 45 dan 44 tahun itu ditahan di Johor Bahru, Ahad lalu.
Menurutnya, lelaki berusia 45 tahun itu ialah pengarah syarikat pemilik asal kapal berkenaan, manakala seorang lagi meruapakan broker penjualan kapal.
“Siasatan awal mendapati kapal itu dibeli April lalu untuk dijual semula selepas kerja penambaikan bagi mendapatkan keuntungan.
“Kapal MT Global 168 dijual kepada sebuah syarikat beralamat di Yangon, Myanmar pada 28 Jun lalu melalui ejen,” katanya.
Menurut Hussein, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 1 November ini bagi membantu siasatan.
Selain itu, polis turut mengesan tiga lagi individu dipercayai warga Singapura, Taiwan dan Myanmar yang sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan.
Sabtu lalu, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto berkata kapal tangki MT Global 168 yang membawa bendera Mongolia itu dipintas selepas dikesan membuat ‘anomali pergerakan’ di Selat Melaka melalui Laut Andaman, sebelum ditahan di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara.
Beliau berkata, dadah jenis ketamin hidroklorida (HCL) yang dirampas itu dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah (kira-kira RM786 juta) ditemukan dalam 58 guni dengan berat keseluruhan mencecah 1.16 tan.
Lapan kru kapal, terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan, ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.