Anwar jalani pemeriksaan kesihatan, dipantau 2 hari
10 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani pemeriksaan kesihatan dan berada dalam pemantauan selama dua hari.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengajak orang ramai mendoakan kesihatan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu supaya dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.
“Perdana Menteri sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan. Beliau dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Anwar juga menyambut hari ulang tahun ke-78, hari ini.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA