Sita kontena bukti Malaysia tegas halang dagangan dengan Israel
8 OGOS : Sitaan sebuah kontena disyaki membawa muatan untuk dieksport ke Israel membuktikan ketegasan Malaysia dalam menangani sebarang urusan berkaitan rejim itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia menunjukkan Malaysia tidak akan akan sekali-kali menjadi laluan dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman Israel.
“Tahniah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
“Tindakan ini membuktikan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak sekali-kali menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang telah berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran susulan kenyataan media dikeluarkan AKPS, hari ini.
Dalam kenyataan media itu, AKPS memaklumkan penghantaran tersebut disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin.