KENYATAAN MEDIA
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan sebuah kenderaan milik Jabatan telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada awal pagi, 19 Ogos 2026.
JIM amat dukacita atas kejadian yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan. Seluruh warga JIM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan.
JIM memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian. Jabatan menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa.
Pihak jabatan turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk membantu siasatan pihak berkuasa. Pada masa yang sama, orang ramai dimohon menghormati privasi dan sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
JIM juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan Jabatan bagi memastikan perkara ini diteliti secara menyeluruh.
JIM memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman jabatan.
Jabatan sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat kejadian ini.
KETUA PENGARAH IMIGRESEN MALAYSIA
DATUK ZAKARIA SHAABAN