19 OGOS : Kerajaan akan meneliti secara mendalam cadangan memperkenalkan sistem percukaian hibrid untuk menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kewangan menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diarah menyediakan laporan tersebut sebelum dibincang kembali bersama Kabinet.
Menurutnya, cadangan itu masih di peringkat awal yang memerlukan penelitian menyeluruh termasuk mengambil kira pengalaman pelaksanaan GST dan SST.
“Jadi, perkara-perkara ini akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk dibincangkan dan diputuskan di Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Fahmi berkata setakat ini, tiada tempoh ditetapkan bagi menyelesaikan kajian berkenaan atau menentukan bila keputusan mengenai sistem percukaian hibrid itu akan dibuat.
Pada Selasa, Anwar berkata kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan SST dan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Dalam perkembangan lain, jemaah menteri turut meluluskan pelan komprehensif tindakan segera dalam usaha menambah baik kawalan di pintu masuk negara.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara akan dibentangkan kepada jemaah menteri.