16 SEPT : “Program Jalinan Mesra Perpaduan @ KRT ini memang bagus.”
Demikian reaksi penduduk Kampung Pulau, Akmal Abdullah yang hadir bersama isterinya ke Program Jalinan Mesra Perpaduan @ KRT di Dewan Serba Guna Kampung Pulau, Tanah Merah, hari ini.
Menurut Akmal, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk berkumpul dan berinteraksi, sekali gus menyemarakkan semangat bermasyarakat.
“Alhamdulillah, sumbangan yang diberi wakil rakyat dan Datuk Seri Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka) sampai kepada rakyat.

“Majlis ini memang bagus kerana melibatkan pelbagai peringkat, tidak kira yang muda atau tua dan ia memberikan semangat bermasyarakat,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan dan bantuan daripada Ab Rauf yang memberi manfaat kepada penduduk Kampung Pulau.
Katanya, bantuan berkenaan membantu memudahkan urusan harian penduduk tanpa mengira usia dan kaum.
Program Jalinan Mesra Perpaduan @ KRT yang merangkumi Mini Karnival Perpaduan, Ziarah Kasih dan Sumbangan Kotak Rahmah turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan serta silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Program itu juga mencerminkan usaha berterusan Ab Rauf dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat di Melaka.
Selain memberi peluang kepada penduduk berkumpul dan menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan, program berkenaan turut membuka ruang kepada Ab Rauf mendekati masyarakat serta mendengar suara rakyat secara langsung.
OLEH : MAISARAH HIJANAH ABDUL HUSHARY