16 SEPT : Kerajaan Negeri Sembilan secara rasmi mengumumkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Melalui satu kenyataan hari ini, kerajaan negeri memaklumkan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dicapai secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bilangan 6 Tahun 2026 yang bersidang semalam dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lassim.
Menurut kenyataan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan hari ini, proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 sudah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah serta berkuat kuasa.
Kenyataan itu berkata proklamasi penurunan takhta berkenaan turut ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026, sekali gus menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Bahawa mesyuarat menjunjung tinggi ketetapan yang telah dibuat Undang Yang Empat dan menghormati prerogatif kuasa Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat serta UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kenyataan berkenaan memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta bagi melaksanakan pengumuman itu bagi mematuhi ketetapan Undang Yang Empat.
Keputusan berkenaan turut menyatakan prerogatif YTM Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dijamin menerusi Perkara 32 dan Perkara 79 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu turut menjelaskan fungsi dan peranan Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat serta peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.