29 SEPT : Selepas mengumumkan bakal meletakkan jawatan dalam Kabinet sebaik pulang dari lawatan rasmi ke China, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini menetapkan syarat baharu.
Setiausaha Agung DAP itu berkata peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
“Sampai Najib dibebaskan, balik rumah, hari itu maka berkuat kuasalah peletakan jawatan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malaysia Maritime Week (MMW) 2026, hari ini.
Menurutnya, surat peletakan jawatan sudah diserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Setakat ini, Anthony akan menjalankan tugas sebagai menteri sehingga bekas Perdana Menteri itu dibebaskan dari Penjara Kajang.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Anwar semalam dan dinasihatkan supaya meneruskan tugas buat sementara waktu.
“Dalam perbincangan tersebut, beliau menasihati saya untuk meneruskan tugas saya buat sementara waktu.
“Beliau akan membuat keputusan, tetapi saya katakan bahawa perlu juga ada satu tempoh masa,” katanya.
Mengenai penggantinya sebagai Menteri Pengangkutan, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
Beliau berkata, keputusan meletakkan jawatan dibuat berdasarkan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan isu tahanan rumah Najib.
“Seperti yang saya katakan, perbincangan saya dengan Perdana Menteri adalah mengenai alasan dan mengapa saya meletakkan jawatan. Ini adalah keputusan parti.
“Keputusan parti dibuat berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak setuju,” katanya.
Pada 19 September lalu, Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Beliau ketika itu dilaporkan berkata akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebaik kembali ke tanah air dari China.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu turut menetapkan Najib perlu membayar denda RM50 juta namun jika gagal, pengampunan bersyarat terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.