29 SEPT : Kepakaran dan kecemerlangan dalam sesuatu bidang tidak memadai untuk mengangkat martabat negara jika tidak disertai nilai, etika serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap kepakaran perlu datang bersama amanah, manakala profesionalisme mesti disertai keberanian untuk menyatakan perkara benar.
Menurut beliau, masyarakat memang digesa mengejar kecemerlangan dan pengkhususan, namun ilmu yang hanya terperangkap dalam ruang dogma akhirnya boleh kehilangan makna dan jiwa.
“Mana-mana negara atau tamadun tidak hanya berdiri dengan batu, besi ataupun angka-angka pertumbuhan saban tahun. Malah, ia dibangunkan juga oleh kalangan mereka yang berilmu, berprinsip dan menggarap bahawa setiap kepakaran datang bersama amanah.
“Justeru, memang kita digesa untuk mengejar dan menggapai kecemerlangan serta pengkhususan, namun ilmu yang membeku dalam ruang dogma akhirnya boleh kehilangan makna dan jiwa.
“Lantaran itu, ikhtisas harus menemukan dirinya pada nilai. Kepakaran mesti bersanding dengan etika, kecemerlangan dengan itqan fil amal, dan profesionalisme dengan keberanian untuk menyatakan yang benar serta tegas menolak segala bentuk rasuah, ketirisan dan kebobrokan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghgadiri majlis Pelancaran Hari Ikhtisas Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu turut pernah diingatkan filasuf besar, Ortega y Gasset melalui konsep barbarism of specialization, yang merujuk kepada keadaan seseorang terlalu arif dalam satu bidang tetapi asing terhadap permasalahan masyarakat dan kemanusiaan.
Anwar berkata, Malaysia tidak akan terangkat hanya kerana memiliki golongan yang pintar sebaliknya, kekuatan negara lahir apabila kepintaran dipadukan dengan hikmah serta kepelbagaian kaum, agama dan wilayah dijadikan kekuatan bersama.
“Malaysia tidak akan terangkat hanya kerana kita memiliki kalangan mereka yang pintar. Malaysia akan terangkat apabila kepintaran itu dipadukan dengan hikmah, apabila perbezaan kaum, agama dan wilayah tidak menjadi tembok yang memisah, tetapi menjadi tiang kekuatan yang menyempurnakan wajah dan seri sesebuah bangsa,” katanya.
Beliau berkata, Hari Ikhtisas Malaysia yang disambut pada 29 September setiap tahun perlu dimaknai lebih daripada sekadar penghargaan kepada golongan profesional.
“Ia adalah suatu peringatan bahawa ilmu tidak semata jalan ke arah kecemerlangan, tetapi wahana untuk meninggikan martabat negara dan masa depan generasi yang bakal mewarisinya,” katanya.
