3 NOV : Malaysia tidak terkecuali daripada risiko menjadi sasaran ancaman siber susulan ketegangan konflik antarabangsa yang tercetus di beberapa negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan krisis di luar negara tidak boleh dianggap sebagai ancaman yang jauh daripada Malaysia kerana ia berupaya memberi kesan langsung terhadap keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.
Beliau berkata, ancaman berkenaan turut merangkumi ketegangan konflik di Asia Barat, perkembangan di Yaman dan Laut Merah serta ancaman keselamatan di Eropah.
“Ini hanya sebahagian daripada rencana, kita masih memantau apakah perkembangan lain yang juga melibatkan persoalan ketegangan konflik Asia Barat, perkembangan Yaman dan Laut Merah, ancaman keselamatan yang di berlaku di Eropah, yang menggambarkan bahawa krisis di luar negara boleh turut menjejaskan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan Kenyataan Rasmi Negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap siri serangan siber yang melanda beberapa negara termasuk Belgium, Denmark, Amerika Syarikat dan Jepun sehingga menjejaskan sistem pentadbiran serta infrastruktur digital masing-masing.
“Di Belgium, serangan siber memaksa Kementerian Kewangan menutup sepenuhnya portal cukai nasionalnya. Di Denmark, penggodam menceroboh daftar penduduk pusat dan menjejaskan rekod ID nasional hampir 9 juta orang.
“Di Amerika Syarikat, sistem pemfailan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan terhenti selama 41 jam tepat sebelum pengundian Dewan Senat yang baru. Di Jepun, pencerobohan siber menembusi rangkaian kerajaan dan mendedahkan rekod peribadi lebih daripada 100,000 anggota polis menyebabkan pelaksanaan tugas polis di beberapa daerah terjejas,” katanya.
Susulan perkembangan itu, beliau berkata, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan semalam bagi meneliti implikasi ancaman berkenaan serta tahap kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, perbincangan turut merangkumi risiko serangan hibrid digital dan siber, kemungkinan penggunaan senjata nuklear dalam konflik membabitkan Iran serta kesan perkembangan politik Eropah terhadap sistem pentadbiran negara.
Malah, beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai aktiviti badan risikan asing, termasuk Israel, di negara jiran yang dikenal pasti agensi risikan Malaysia sebagai berpotensi menimbulkan ancaman kepada negara.
“Saya telah bayangkan dalam sidang Parlimen ini, bahawa ini juga termasuk beberapa badan risikan luar negara, termasuk Israel, operasi di negara jiran, dan perkampungan Israel di Phuket dan di selatan Thailand, yang kemudian dilihat oleh badan-badan risikan kita sebagai potensi ancaman kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman dalam serta luar negara dan melindungi infrastruktur strategik termasuk sektor tenaga, pengangkutan, kewangan serta bekalan makanan.
Beliau berkata, kesiapsiagaan rakyat turut menjadi antara keutamaan bagi memastikan masyarakat memahami risiko keselamatan yang boleh berlaku susulan perkembangan antarabangsa.
“Jadi saya ingin menegaskan bahawa bagi pihak kerajaan setiap hari, semua agensi, menteri dan kementerian, diminta terus menjalankan tanggungjawab, memastikan penyerasan berkesan, dan badan-badan di bawah pengawasan mereka itu siap siaga, terutamanya pasukan keselamatan,” katanya.