Sukar lepaskan, Anwar mahu Loke segera kembali bertugas
28 NOV : Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat jelas mahu Anthony Loke terus kekal dalam Kabinet apabila menegaskan beliau masih memerlukan khidmat Menteri Pengangkutan itu, meskipun memahami hasratnya untuk berundur.
Perdana Menteri berkata, prestasi Loke sepanjang menerajui kementerian berkenaan adalah baik dan membanggakan, justeru beliau sukar menerima keputusan Setiausaha Agung DAP itu untuk melepaskan jawatan.
Malah, Anwar mahu Loke menamatkan tempoh cutinya dan kembali menjalankan tugas secepat mungkin.
“Saya faham (dia mahu letak jawatan), tapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdikan tugas serta tanggungjawab untuk rakyat dan negara.
“Beliau (Loke) ketika ini sedang bercuti dan saya nak minta dia sambung kerja secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Yakin Madani Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, hari ini.
Anwar berkata, beliau menghormati alasan yang dikemukakan Loke, namun tanggungjawab terhadap rakyat dan negara perlu diutamakan, lebih-lebih lagi ketika menggalas amanah menerajui kementerian strategik.
“Prestasi beliau baik dan membanggakan. Jadi, saya sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan walaupun alasan-alasan beliau saya hormat dan faham.
“Tambahan pula beliau menerajui satu kementerian penting yang menghubungkan rakyat dari segi perhubungan dan pengangkutan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Loke diarahkan hadir ke majlis berkenaan kerana program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan hasrat meletakkan jawatan susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Keputusan itu mencetuskan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini memaklumkan belum menerima peletakan jawatan Loke dan meminta beliau bercuti terlebih dahulu sementara perkara itu dibincangkan.