Ketegasan Malaysia dalam isu Gaza tidak jejas pelaburan : PM
8 OGOS : Ketegasan Malaysia dalam menyatakan pendirian dalam isu Palestin tidak memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan pelaburan masuk dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan diplomatik dengan negara-negara terlibat perlu dikekalkan meski berbeza kepentingan dan pandangan politik.
“Walaupun beberapa pendirian kita terutama soal Gaza (agak) keras dan berbeza (dengan kebanyakan negara Barat)…bertentangan dengan Amerika Syarikat (AS) tetapi dari segi pelaburan (tidak beri impak negatif). Dia juga jaga kepentingan dia, kita juga jaga kepentingan kita, sebab itu pelaburan tetap bertambah.
“Tetapi (dalam masa yang sama) kita juga beralih kepada negara China…dari sudut E&E juga. Syarikat kenderaan elektrik (EV) China dapat mengatasi kos dan juga dari segi efficiency terutamanya dalam pengeluaran bateri,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena sesi dialog Belanjawan 2025 bersama pemain industri elektrik dan elektronik (E&E) di SilTerra Malaysia, Kulim, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pada ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah eksport produk E&E tempatan ke AS adalah sebanyak 26 peratus daripada keseluruhan eksport industri itu ke negara tersebut.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim