11 NOV : Datuk Seri Bung Moktar Radin masih tetap tidak mahu menjalin semula kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu mendakwa tidak mahu dikhianati lagi.
“Kemungkinan (kerjasama) itu ada, tapi kalau tanya saya, saya tidak akan buat sebab terlalu perit untuk orang yang telah sembelih (mengkhianati) kita, kita nak layan lagi berat. Kita tidur-tidur lagi, dia sembelih lagi kita.
“Kerjasama hanya dengan BN-PH dan parti-parti lokal yang lain yang berminat, tetapi bukan GRS,” katanya kepada pemberita pada Program Gerak17 UMNO Sabah pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ketua UMNO Sabah itu juga yakin UMNO Sabah mempunyai autonomi untuk menentukan rakan kerjasama politik meski pusat menyebut tentang kerjasama antara BN, Pakatan Harapan Sabah dan GRS.
“Insya-ALLAH kita akan ada (autonomi itu). Kemungkinan itu memang berkemungkinan (kerjasama) tetapi kemungkinan itu mungkin berlaku, berkemungkinan juga tidak (berlaku). Insya-ALLAH kita akan tentukan (kerjasama politik),” katanya.
Sabah dijangka mengadakan pilihan raya negeri tahun depan.
Dalam pada itu, Bung Moktar bertegas kerusi milik UMNO-BN yang dipinjam sebelum ini harus dikemabalikan
“Bukan saja kerusi Pantai Manis, tapi (DUN) Kawang ini sebenarnya dulu pun UMNO punya, cuma kita pinjamkan disebabkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu berhadapan dengan Parti Warisan (Warisan).
“Jadi suasana politik sudah berubah, barang dipinjam perlu dikembalikan. Jadi kalau tidak dikembalikan, terpaksa kita minta daripada rakyatlah,” katanya sambil menambah parti itu akan mengambil semula kerusi-kerusi tersebut pada PRN nanti.