3 MAC : Kerajaan akan mewujudkan satu platform bagi membolehkan pemilik akaun media sosial memfailkan aduan untuk mencabar tindakan menurunkan sebarang kandungan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata inisiatif itu akan dilaksanakan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024.
Katanya, melalui platform itu, pemilik akaun boleh mempertahankan kandungan mereka yang diturunkan dengan mengemukakan alasan munasabah.
“Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, kita akan wujudkan satu platform yang sesiapa sahaja kalau kandungan mereka diturunkan boleh memfailkan aduan dalam tribunal tersebut untuk mereka pertahankan mengapa hantaran itu tidak sepatutnya diturunkan.
“Jadi bukan segalanya kuasa MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia). Kita ada prosedur semak dan imbang untuk memastikan setiap keputusan MCMC juga boleh dicabar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkait kebimbangan proses pelesenan penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial digunakan sebagai alat untuk kerajaan menurunkan kandungan kurang disenangi terutama semasa musim pilihan raya.
Wan Saiful turut membangkitkan soal tindakan kepada penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial yang masih belum memohon lesen sebagai penyedia perkhidmatan.
Menurut Nie Ching, penelitian mendalam sedang dijalankan MCMC untuk memastikan segala isu penguatkuasaan kerangka pelesenan itu dapat diselesaikan.
Katanya, MCMC membuat tinjauan sendiri bagi memastikan jumlah sebenar pengguna bagi memastikan kelayakan penyedia platform terbabit untuk dilesenkan.
“Kami dalam proses untuk buat tadbir urus dengan penyedia platform dan proses dah mula dengan Meta, X dan Google.
“X pertikai mereka mempunyai lapan juta pengguna Malaysia dalam platform mereka…oleh sebab itu, X kata mereka tak perlu memohon lesen tersebut, jadi MCMC perlu buat kajian sendiri untuk pastikan jumlah pengguna yang ada supaya boleh hujah balas dengan X untuk mereka perlu dapatkan lesen di bawah kerangka perlesenan ini,” katanya.
*Foto : Facebook Teo Nie Ching