17 MEI : Tindakan memanggil sesiapa sahaja untuk membantu siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah perkara biasa.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata selepas kertas siasatan lengkap, ia akan diserahkan kepada agensi berkaitan.
“Biasanya, kalau ada aduan pihak (MCMC) akan buka kertas siasatan untuk buat siasatan dan selepas itu mereka akan serahkan kepada agensi berkaitan.
“Kalau ada aduan kebiasaannya MCMC rasa ada keperluan, maka mereka berhak untuk mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) di Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang, hari ini.
Beliau mengulas tindakan MCMC memanggil seorang pempengaruh media sosial yang menawarkan diri untuk membuat carian latar belakang terperinci (scrut) tentang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Tindakan itu didakwa orang ramai agak keras namun Nie Ching berkata MCMC perlu memberi penjelasan berkait perkara itu.
“Saya rasa MCMC perlu jelaskan kenapa mereka panggil dan lazimnya, selepas siasatan akan diserah kepada agensi (berkaitan) sama ada, terdapat kes atau tidak,” katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh mendakwa dipanggil MCMC selepas menawarkan khidmat untuk melakukan ‘scrut’ terhadao Nurul Izzah sekiranya mendapat 20,000 perkongsian melalui Facebook.