Bangun semula perumahan di bandar demi perbaiki kehidupan rakyat

5 JUN : Kerajaan tiada sebarang agenda tersembunyi dalam usaha membangun semula kawasan perumahan di ibu negara.
Ia sekaligus menepis dakwaan kononnya usaha itu untuk mengusir atau meminggirkan penduduk Melayu di bandar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha itu diambil semata-mata untuk memperbaiki kehidupan rakyat miskin bandar terdiri daripada golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Menurutnya dakwaan kerajaan mahu merampas tanah orang Melayu adalah tidak berasas.
Sebaliknya, Anwar berkata melalui pembangunan semula itu rakyat dapat menikmati kediaman yang lebih luas dan selesa.
Beliau turut mengkritik tindakan segelintir pihak yang menggunakan isu kaum untuk menentang inisiatif kerajaan.
“Dijadikan satu isu kaum, seolah-olah hak Melayu akan dipinggir, orang Melayu akan keluarkan. Padahal secara jelas ia tidak akan terkesan dan penduduk yang asal, kekal. Itu semua jaminan dan semua itu jauh lebih baik.
“Sudah tentulah keadaan perumahan itu lebih besar dan sebagainya untuk memungkin ada satu bentuk subsidi silang.
“Hal ini apabila kita bangkit soal kaum, Islam terancam… orang Melayu (tetapi) pejuang Melayu ini apabila berkuasa, dia punggah kekayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Enam, malam tadi.
Forum anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu membincangkan topik ‘Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam’.
Dalam pada itu, Anwar juga menyatakan kesediaan kerajaan mendengar sebarang cadangan atau kritikan membina terhadap usaha yang sedang dirangka oleh Kerajaan MADANI.
