6 JUN : Malaysia dan Brunei memperkukuh kerjasama serantau khususnya dalam aspek kesiapsiagaan bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu disentuh dalam pertemuannya dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Brunei, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman, di Geneva.
“Pertemuan yang berlangsung dalam selingan Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) 2025 ini membuka ruang untuk terus memperkukuh komitmen bersama Malaysia-Brunei dalam memperluas kerjasama serantau.
“Khususnya dalam aspek kesiapsiagaan bencana, keselamatan rentas sempadan dan hubungan dua hala yang sedia terjalin erat sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Malaysia dan Brunei turut sepakat untuk memperhebat latihan dan latihan lapangan bersama.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Brunei atas kesediaan untuk terus menjalinkan latihan bersama antara Pasukan SMART Malaysia dan Pusat Bencana Kebangsaan Brunei termasuk meneruskan program pemindahan ilmu dan latihan berasaskan amalan terbaik.
“Kami turut bersetuju untuk memperhebatkan latihan dan latihan lapangan bersama antaranya operasi menyelamat dan simulasi kecemasan yang telah dijayakan baru-baru ini. Latihan ini bukan sahaja membina kepercayaan antara agensi, malah penting untuk menyelaras prosedur operasi dalam menghadapi bencana rentas sempadan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Malaysia dan Brunei berjaya membuktikan kejiranan yang akrab digandingkan dengan komitmen yang tinggi mampu membina kerjasama bencana dan keselamatan serantau yang lebih mantap.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh sinergi ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK