26 JUN : Kerajaan mengecualikan buah epal dan oren yang diimport daripada peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Sementara, buah-buahan import lain akan dikenakan kadar cukai yang rendah.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, keputusan itu dibuat Kabinet semalam, susulan buah-buah tersebut banyak dibeli golongan miskin dan B40 kerana harganya yang berpatutan.
Namun, beliau berpendapat tiada keperluan untuk mengambil buah-buahan import.
“Tetapi saya melihat bahawa terdapat banyak kegelisahan. Ramai daripada golongan miskin dan B40 masih makan epal dan oren import kerana ia murah.
“Biasanya apabila Menteri Kewangan membuat keputusan, dia tidak akan berganjak. Tetapi saya menyatakan kepada rakan Kabinet saya bahawa ia sebenarnya munasabah.
“Oleh kerana ramai yang merungut, semalam kita bersetuju untuk memberi pengecualian. Buah-buahan yang diimport akan dikenakan peratusan kecil cukai jualan, tetapi kita akan mengecualikan epal dan oren,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan peluasan skop SST termasuk melibatkan buah-buahan dengan kadar 5 peratus.