Usah tumpu keuntungan semata-mata dalam pembangunan

26 JUN : Kota MADANI perlu dijadikan contoh kepada pembangunan-pembangunan di semua kota dalam negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan itu ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kota MADANI di Putrajaya, hari ini.
“”Saya mahu Kota MADANI ini contoh bagi pembangunan bandar di semua kota-kota di negara kita. Saya minta, bagi pembandaran, kerja-kerja negeri, lihat apa yang boleh kita lakukan. Jangan hanya tunduk kepada pemaju. Kita yang merancang.
“Jangan projek itu ditentukan oleh syarikat semata-mata kerana kalau mereka tentukan, tentunya diberikan pandangan dan saranan yang hanya melihat kepada keuntungan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan sebarang perancangan bandar perlu memenuhi keperluan rakyat termasuk penjawat awam dan bukannya menumpu kepada keuntungan semata-mata.
“Penjawat awam tidak boleh menunggu lima tahun untuk perumahan. Kita mesti percepatkan.
“Kalau sambutan baik dan prosesnya lancar, saya sendiri akan pastikan ia dibawa ke peringkat jemaah menteri untuk disegerakan.
“Kota yang hebat bukan sekadar bangunan pencakar langit, tetapi mesti melambangkan kekuatan budaya dan sejarah. Kota moden yang ‘culturally barren’ (gersang) tidak dapat membina semangat kebersamaan, nilai dan jati diri masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Kota MADANI dirancang dengan mengambil kira keselesaan dan keselamatan penduduk dengan menyediakan segala fasiliti yang diperlukan.
“Bayangkan seorang ibu bapa dengan tiga anak kecil, semuanya boleh ke sekolah atau tadika hanya dengan berjalan kaki dari rumah.
“Itulah kota madani yang kita bayangkan…selamat, efisien dan penuh nilai kemanusiaan,” katanya.
Pembinaan Kota MADANI dijangka siap pada penghujung 2027 dengan kos RM4 bilion yang akan dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan build, lease, maintain and transfer (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT) tanpa membabitkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Ia melibatkan pembinaan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak, masjid dan klinik.
