27 JUN : Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara merangkap Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Amir Hamzah diberi tanggungjawab untuk mengolah dan merombak intipati Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang pada 25 Jun 2025 bahawa beliau telah bersetuju supaya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II untuk menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta merta.
Tugas utama Datuk Seri Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskah RMK13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025 dengan mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri,” katanya.
Jawatan menteri itu kosong selepas penyandangnya meletakkan jawatan pada 28 Mei lalu berikutan tewas pada Pemilihan PKR 2025.