Malaysia-Indonesia sepakat percepat kerjasama

27 JUN : Malaysia dan Indonesia sebulat suara bersetuju untuk mempercepatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan demi manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah mempergiat kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, peningkatan perdagangan dan pelaburan serta pemerkayaan budaya kedua-dua negara.
“Dalam semangat saling percaya, kami turut berazam untuk menyelesaikan isu-isu sempadan yang masih tertangguh dengan segera.
“Penyelesaian tuntas masalah sempadan termasuk isu maritim yang berlarutan menjadi keutamaan bersama agar kepentingan besar persahabatan dan kerjasama erat Malaysia-Indonesia sentiasa terpelihara.
Pendekatan menang-menang (win-win solution) ini diharap dapat memperkukuh keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua negara tetangga serumpun,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan usai mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Jakarta, hari ini.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedua-dua negara juga komited memastikan perpaduan serantau terus terpelihara.
“Sebagai dua negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen teguh untuk memastikan perpaduan serantau terus dipelihara dan kestabilan ASEAN dikekalkan.
“Kami sependapat bahawa ASEAN yang bersatu padu dan stabil amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa, sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun keselamatan,” katanya.
Dalam pertemuan itu juga kata Anwar, Malaysia dan Indonesia mempertegas bahawa kerjasama serantau harus diperkukuh, selaras dengan semangat kejiranan dan keutuhan ASEAN demi Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya saing.
“Lantas hubungan erat Malaysia-Indonesia akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan rantau secara keseluruhan,” katanya.
