28 JUN : Malaysia memerlukan bakat dan kepakaran teknikal seiring tumpuan kerajaan dalam sektor tenaga masa hadapan.
Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia melibatkan bidang kejuruteraan elektrik, tenaga boleh baharu, sistem grid dan teknologi nuklear.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata peluang kerjaya dalam bidang ini semakin meluas dalam sektor awam dan syarikat teknologi tinggi yang berkembang pesat.
Katanya, tenaga nuklear dijangka akan memainkan peranan yang lebih besar dalam campuran tenaga nasional .
Fadillah berkata, kerajaan sedang mengkaji secara serius penggunaan tenaga nuklear sebagai antara pilihan strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga untuk generasi akan datang.
“Lawatan ke Rusia memberi peluang meneliti teknologi, keselamatan dan model pengoperasian loji tenaga nuklear yang berpotensi untuk disesuaikan di Malaysia,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia di Rusia, malam tadi.
Dalam pada itu, Fadillah berkata keterjaminan tenaga dan air merupakan antara tonggak utama dalam membangunkan negara maju.
Katanya, dua sektor itu menjadi keutamaan dalam perbincangan dua hala bersama kerajaan Rusia.
“Pelabur menunjukkan minat yang tinggi terhadap potensi sektor tenaga di Malaysia terutama dalam bidang teknologi tinggi dan lestari,” katanya.
*FOTO : FACEBOOK FADILLAH YUSOF