5 JUL : Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) digesa memantau rapi pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerajaan tidak mahu kemajuan projek itu terencat dek gangguan seperti pencerobohan.
“Pada mesyuarat kali ini saya menegaskan supaya pihak MRL untuk memantau rapi pelaksanaan projek yang telah mencapai 85%.
“Kita tidak mahu gangguan seperti pencerobohan rel oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab merencatkan perancangan dan mengakibatkan kelewatan operasi yang dijangka pada awal tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah kali ke-32 sempena pemukiman MRL di Melaka, hari ini.
Beliau melahirkan keyakinan projek itu akan menjai mercu kebanggaan Malaysia.
“Saya yakin, projek ECRL ini akan menjadi satu mercu kebanggaan bagi negara kita dan memangkin pembugaran ekonomi di sepanjang jajaran serta kawasan sekitar yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara.
“Ini bertepatan dengan elemen Kesejahteraan dalam prinsip MADANI yang hanya akan dapat dicapai dengan ‘whole-of-government approach’ dan ‘whole-of-nation approach’ melalui sinergi Persekutuan-Negeri-Swasta,” katanya.
*Foto : Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar
*OLEH : HANUM RAJAK