9 JUL : Gara-gara memuat naik kandungan jelik melampau yang menyentuh sentimen kaum dan agama di akaun TikTok, seorang lelaki dikompaun sebanyak RM10,000.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkandalam satu kenyataan sudah menerima bayaran itu.
“MCMC telah menerima bayaran kompaun sebanyak RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Abd Halim yang dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau menyentuh sentimen kaum dan agama melalui aplikasi TikTok pada 31 Mac 2025.
“Tindakan ini diambil hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta setelah memperoleh izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem atau yang menyentuh institusi negara.
“Pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi.
“MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia,” kata MCMC.
*OLEH : HANUM RAJAK