28 OKT : Sepasang suami isteri ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang disyaki cuba membawa keluar wang tunai hampir RM3 juta ke Singapura, semalam.
Kedua-dua rakyat berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pasangan tersebut ditahan kira-kira jam 11.40 pagi ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Menurut Nasaruddin, pasangan itu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih.
“Pegawai bertugas di zon pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang.
“Pasangan itu mendakwa mahu ke Singapura untuk melancong. Bagaimanapun, pemeriksaan menemukan wang tunai RM1,971,697 dan S$300,000 (kira-kira RM955,441), menjadikan keseluruhan wang ditemukan bernilai kira-kira RM2.93 juta,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, wang tunai dalam denominasi RM10, RM20 dan RM100 itu disimpan di dalam tiga kotak, satu beg kertas dan sebuah beg galas hitam.
Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya masih menyiasat tujuan pasangan berkenaan membawa wang tunai dalam jumlah besar tanpa membuat pengisytiharan sebelum meninggalkan negara ini.
“Tangkapan, wang tunai dan kenderaan yang disita diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dibawa ke mahkamah hari ini untuk direman,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 55(1)(b) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
Katanya, wang tunai melebihi AS$10,000 (kira-kira RM40,826) wajib diisytiharkan apabila dibawa masuk ke atau keluar dari Malaysia.
