9 JUL : Malaysia akan membangkitkan isu tarif import 25 peratus kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuannya dengan Rubio akan berlangsung esok.
Menurut Anwar, tarif secara unilateral yang dikenakan AS itu memberi impak negatif bukan sahaja kepada Malaysia tapi juga rantau Asia Tenggara.
‘’Kami menghantar pasukan rundingan untuk menjelaskan pendirian bahawa negara kita merupakan sebuah negara dagang dan sebarang tarif secara unilateral akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara ini dan rantau ini.
‘’Namun, rundingan masih berjalan dan apabila saya bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok, saya pasti akan membangkitkan beberapa isu untuk pertimbangan beliau agar dapat dibawa ke perhatian sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Presiden Donald Trump,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif import Malaysia pada kadar 25 peratus di mana turut dikenakan kadar sama adalah Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.
Dalam pada itu, Anwar berkata hubungan dengan Washington penting dan perlu dikekalkan namun Malaysia tidak sesekali berkompromi bagi perkara yang melibatkan kepentingan ekonomi negara.
‘’Tentunya hubungan dengan Amerika kita harus kekalkan, tetapi kita juga akan pertahankan pendirian kita bahawa Malaysia ini negara dagang.
‘’Jadi kita letak seperti pertimbangan, kita dah kemukakan alasan-alasan dan hujah dan diberi sampai bulan Ogos untuk memuktamadkan,’’ katanya.
Tarif baharu dikenakan AS ke atas Malaysia akan berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Jemaah menteri akan berunding mengenai perkembangan terkini tarif itu dalam mesyuarat, hari ini.
