OPR turun 25 mata asas langkah berhemah, proaktif

9 JUL : Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diturunkan sebanyak 25 mata asas merupakah langkah berhemah dan proaktif.
Demikian respons Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan OPR kepada 2.75%, hari ini.
“Saya ambil maklum keputusan MPC BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%.
“Langkah ini berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global, berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meski sektor eksport berdepan cabaran, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan termasuk Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan penerokaan pasaran baharu.
“Reformasi di bawah Ekonomi MADANI terus mengukuhkan daya tahan negara apabila kadar inflasi sehingga Mei 2025 turun ke 1.2%, terendah dalam 51 bulan, malah kadar penyertaan tenaga buruh pula cecah rekod 70.8%.
“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” katanya.
Terdahulu, MPC BNM menurunkan OPR kepada 2.75 peratus, pertama kali sejak Mei 2023.
Turut dikurangkan kadar siling dan kadar lantai bagi koridor OPR kepada 3.0 peratus dan 2.5 peratus.
*OLEH : HANUM RAJAK