25 JUL : Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) sedang meneliti syor untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dapatan awal kajian yang dijalankan sebelum ini sudah dimaklumkan kepada Kabinet melalui satu Nota Jemaah Menteri bertarikh 19 Mac lalu.
“Jemaah menteri sudah mengambil maklum cadangan ini membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan menyentuh kuasa budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, ia memerlukan penelitian secara menyeluruh dan holistik, termasuk mendapatkan pandangan dan persetujuan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan-kerajaan negeri serta pihak-pihak politik di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH – Pasir Gudang) berkait pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkankan peruntukan undang-undang tempoh khidmat seseorang Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Dalam pada itu, Azalina memaklumkan Kabinet memutuskan agar dijalankan perbincangan bersama parti-parti politik termasuk dari Sabah dan Sarawak bagi mencapai kesepakatan awal berhubung syor tersebut.