Semangat persahabatan Malaysia-Rusia bentuk hala tuju negara
6 OGOS : Semangat persahabatan antara Malaysia dan Rusia akan terus membentuk hala tuju hubungan kedua-dua negara demi kepentingan rakyat.
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena lawatan negara pertama baginda ke Rusia.
Baginda bertitah Malaysia menganggap Rusia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan penting.
“Hubungan diplomatik kita telah terjalin lebih lima dekad, yang diwujudkan secara rasmi pada April 1967. Beta diingatkan bahawa Malaysia antara negara ASEAN terawal yang menjalin hubungan dengan Moscow.
“Seperti pepatah Rusia, persahabatan lebih berharga daripada wang. Dengan semangat persahabatan inilah, beta percaya, yang akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan rakyat,” titah baginda, lapor Bernama.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada pertemuan rasmi dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace, hari ini.
Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara bersejarah ke Rusia hingga 10 Ogos ini atas undangan Putin.
Baginda merupakan Agong pertama yang membuat lawatan negara ke Rusia.
Turut mengiringi baginda adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Menteri Pengiring; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.