9 OGOS : Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada buah-buahan import merupakan salah satu langkah bagi membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu juga bagi menggalakkan rakyat Malaysia membeli buah-buahan tempatan.
“Ada yang marah apabila buah-buahan import dikenakan cukai. Ini cara untuk pastikan orang ramai membeli buah tempatan.
“Jika tidak, selamanya akan ada penyeludupan melalui kawasan sempadan seperti di Sungai Golok, Kelantan dan Kedah serta Perlis juga tidak terkecuali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pengecualian SST bagi limau dan epal import.
Mengulas lanjut, Anwar berkata buah avokado tempatan,khususnya yang ditanam di Sabah, memiliki kualiti lebih baik berbanding produk import.
“Jadi kita ada pilihan. Saya juga sudah berbincang dengan Menteri Besar Kelantan mengenai potensi tarikan ekonomi di negeri ini.
“Negeri seperti Selangor, Johor dan Sarawak sudah mempunyai tarikan ekonomi sendiri. Kerajaan boleh lepaskan mereka berdikari,” katanya.