22 OGOS : Operasi penerbangan pesawat F/A-18D Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digantung sementara berikutan kemalangan yang berlaku di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata ia bagi memberi laluan kepada siasatan secara menyeluruh yang sudah bermula hari ini.
“Ketika kejadian pesawat itu sedang melakukan latihan penerbangan malam.
“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dijangka mengambil masa dua minggu,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.
Dalam kejadian jam 9.05 malam itu, pesawat tersebut sedang berlepas di landasan sebelum dilihat mengeluarkan percikan api sebaik meninggalkan landasan dan meletup lalu terhempas.
Katanya, dalam kejadian itu pesawat tersebut musnah sepenuhnya namun juruterbang bersama jusensor senjata pesawat sempat melompat keluar sebelum ia meletup dan terhempas.
Mengulas lanjut, Muhamad Norazlan berkata pihaknya masih belum dapat memastikan punca kejadian termasuk andaian yang menyebut ia akibat serangan burung.
“Saya sudah meneliti video tular kejadian dan tidak dapat memastikan serangan burung atau bahan asing sebagai punca pesawat itu terhempas.
“Siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan disahkan pesawat digunakan sejak 1997 itu rosak keseluruhan,” katanya.
Beliau juga mengesahkan juruterbang pesawat, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34 dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28 dari 18 Skuadron Butterworth, Pulau Pinang yang ditempatkan sementara di Kuantan sejak Jun lalu itu merupakan juruterbang berpengalaman.
Kedua-duanya cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
*FOTO : TUDM