23 OGOS : Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penjualan rakaman video lucah di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi amaran keras itu susulan laporan ada individu yang merancang untuk menjual video lucah di Telegram.
Kata Fahmi, pindaan terkini Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti itu.
“Jadi, kepada mana-mana pihak yang membuat percubaan seperti ini, saya memberi amaran keras bahawa tindakan boleh diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Denyut Nadi Merdeka di Pasar Seni, hari ini.
Selain itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata arahan juga sudah dikeluarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan individu terlibat.
“Bagi tindakan penguatkuasaan, kita serahkan kepada pihak PDRM,” katanya.
