17 SEPT : Mangsa banjir di Sabah terus merekodkan peningkatan setakat jam 4 petang ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 2,972 mangsa daripada 900 keluarga ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS).
Enam daerah terjejas dengan Sipitang kawasan terbaharu dilanda banjir melibatkan enam mangsa daripada dua keluarga yang kini ditempatkan di sebuah PPS.
Putatan merekodkan mangsa paling ramai terjejas iaitu 913 orang daripada 248 keluarga ditempatkan di 4 PPS diikuti Membakut dengan 853 mangsa daripada 259 keluarga yang berlindung di lima PPS.
Sementara itu di Penampang, 639 orang berlindung di lapan PPS melibatkan 215 keluarga, di Beaufort seramai 290 orang terjejas daripada 91 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan di Papar, 271 orang daripada 85 keluarga dipindahkan ke dua PPS.
Selain itu, di Sarawak, seramai 66 mangsa terjejas daripada 24 keluarga melibatkan daerah Miri yang kini berlindung di sebuah PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda Sabah melibatkan Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) sehingga 5 petang ini.
*FOTO: FACEBOOK MAWARDI ISMAIL