17 SEPT : Malaysia terus menerajui pembangunan halal dunia melalui sebuah platform global yang bakal ditubuhkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Pembangunan Halal Dunia (WHDC) itu bagi menyelaras perdagangan, pelaburan dan inovasi halal global.
Katanya, WHDC juga mempercepat pembangunan kapasiti dan penyelidikan dalam industri halal antarabangsa.
Bermula dengan keanggotaan kecil tetapi strategik, kata Ahmad Zahid, ia bagi membina jaringan dinamik yang berorientasikan pasaran.
“Halal bukan hanya soal pasaran dan keuntungan, tetapi diplomasi, pengaruh dan kepimpinan.
“Ini cara Malaysia menunjukkan kepada dunia sebagai sebuah negara Islam, tetapi boleh menegakkan prinsip syariah sambil mengharungi realiti ekonomi global moden,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Global Halal Summit (GhaS), malam ini.
Teks ucapannya dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara itu berkata dalam sektor halal, aspirasi Malauysia tidak terhenti di peringkat rantau sebaliknya melebar sayap ke peirngkat global.
Katanya, pensijilan, kewangan Islam, pendidikan dan pelancongan halal mampu membina kredibiliti serta kepercayaan di peringkat antarabangsa.
“Misalnya awal tahun ini di Jakarta, Malaysia bersama Indonesia mencadangkan penubuhan ASEAN Halal Council dengan visi membentuk pasaran halal serantau melibatkan lebih 700 juta pengguna.
“Industri halal global kini berkembang pesat dengan nilai mencecah AS$3 trilion dan dijangka melonjak ke AS$5 trilion (RM21.58 trilion) menjelang 2030, merangkumi makanan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan, logistik, kewangan serta ekonomi digital.
“Bagi Malaysia, industri halal sudah menjadi antara tonggak penting ekonomi negara apabila menyumbang 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini,” katanya.
Tambahnya, sumbangan itu dijangka meningkat kepada 11 peratus menjelang 2030 dengan nilai domestik mencecah AS$113 bilion.
Selain itu katanya, Malaysia turut merekodkan eksport halal sekitar AS$8 bilion setahun iaitu lebih 5 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
“Malaysia tidak mahu dikenang hanya sebagai negara yang mengeluarkan sijil halal, tetapi sebagai negara yang membina ekosistem halal menyeluruh dan meninggalkan warisan global yang bernilai untuk generasi akan datang,” katanya.