Lawatan PM ke Timor Leste buka peluang kerjasama strategik

23 SEPT : Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor Leste membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik kedua-dua negara.
Menurut Anwar, lawatan itu juga bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan Malaysia–Timor Leste, malah membuka lembaran baharu kerjasama strategik yang dapat menyumbang kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudiannya diberi sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden sebelum melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Timor Leste, Dr José Ramos-Horta.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.
Menurut kenyataan sama, Anwar memaklumkan dalam mesyuarat itu, kedua-dua negara menumpu kepada pelbagai bidang yang berpotensi.
“Termasuk pertahanan, kesihatan, komunikasi, pendidikan, budaya, pengecualian visa, pelaburan dan perdagangan.
“Pertemuan tersebut turut menyaksikan pertukaran pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, dalam suasana mesra dan konstruktif.
“Hasil perbincangan ini turut kami kongsikan bersama media tempatan dan Malaysia, dengan harapan sinergi baharu dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar disambut Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão.
Anwar turut dijemput menaiki Mini Moke, kenderaan klasik berbumbung terbuka yang dipandu sendiri Dr Ramos-Horta sinonim dengan gaya Presiden itu mendekati rakyat pada majlis rasmi.
