PM sasar 2 hingga 3 tahun bersihkan negara daripada rasuah

30 SEPT : Pentadbiran MADANI mensasarkan dua hingga tiga tahun untuk membersihkan negara daripada kes rasuah dan salah guna kuasa terutama melibatkan ‘jerung besar’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk memburu bekas-bekas menteri untuk diheret ke muka pengadilan.
Justeru itu, beliau melihat keperluan agar peranan badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkukuh.
“Saya pernah cadangkan, dalam dua, tiga tahun kalau hendak kita perkukuhkan lagi SPRM ataupun badan penguatkuasaan, saya tidak ada halangan.
“Saya kata kalau boleh, dalam dua tiga tahun ini, ‘we clean up the mess’. Mesejnya jelas, dulu (kamu) menteri ke, KSU (ketua setiausaha) ke, KP (ketua pengarah) ke, kalau nampak salah laku, ‘we’ll go after you’.
“Kalau bukan hari ini, esok, (kalau) bukan esok, tahun hadapan. Anda pencen pun (kalau) kita dapat bukti anda curi semasa berkuasa, kita akan cari. Itu tekad saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI yang mengangkat tajuk Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistematik, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar tidak menolak cabaran lebih besar dalam misi memburu ‘jerung besar’ kerana kekuatan sumber golongan itu yang mempunyai kuasa, pengaruh dan dana serta penyokong.
“Kalau tengok keutamaan pada SPRM adalah jerung dulu, tetapi tidak bermakna harus dibiarkan ikan bilis merayap…tapi pengalaman kita jerung itu lebih mencabar.
“Saya fikir kalau kita tuntas, bersihkan dan banteras rasuah untuk tolong rakyat, semua orang sokong. Tetapi tidak kerana tidak semua sokong.
“Ini kerana walaupun dia tidak lagi berkuasa, namun dia ada mempunyai kuasa, pengaruh dan dananya besar,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA